Nama Pegawai terlibat:
- Pengarah Projek GEF-8: Profesor Madya EUR. ING. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail
- Pengurus Projek GEF-8: Dr. Muhammad Nur Arif Othman
- Penyelidik MIMA: Encik Aiman Hisyam Azmi
- Pengurus Keselamatan Pelabuhan Kuantan: Encik Muhammad Syahmi Sulaiman
- Pengurus Projek Muhibbah Engineering (M) Bhd.: Encik Muhammad Fahmi Zaid
Pada 17 Januari 2025, Pusat Kajian Pesisir Pantai dan Persekitaran Marin (CMER), Institut Maritim Malaysia (MIMA), telah mengadakan mesyuarat meja bulat dan lawatan tapak bersama Lembaga Pelabuhan Kuantan (LPKtn) bagi membincangkan potensi projek Global Environment Facility (GEF-8) untuk dilaksanakan di Pelabuhan Kuantan. Delegasi MIMA yang diketuai oleh pengarah projek GEF-8, Profesor Madya EUR. ING. Ts. Ir. Dr. Syuhaida Ismail bersama pengurus projek GEF-8, Dr. Muhammad Nur Arif Othman dan penyelidik MIMA, Encik Aiman Hisyam Azmi telah bertemu dengan pihak LPKtn yang diwakili oleh Encik Muhammad Syahmi Sulaiman selaku Pengurus Keselamatan Pelabuhan Kuantan.
Perbincangan antara MIMA dan LPKtn berfokus kepada usaha mengenal pasti kesesuaian Pelabuhan Kuantan bagi melaksanakan projek GEF-8 dan memenuhi kriteria yang diberikan oleh UNEP. Pengarah projek GEF-8 memaklumkan bahawa kriteria utama dalam pemilihan pelabuhan ini ialah pelabuhan itu mestilah mempunyai pelan perancangan pembangunan serta perluasan yang sedang berjalan atau akan berjalan pada tahun 2025 sehingga 2029 iaitu sesuai dengan tempoh pelaksanaan projek GEF-8 selama 4 tahun. Encik Muhammad Syahmi Sulaiman pula berkongsi maklumat mengenai projek yang sedang dijalankan dalam kawasan had pelabuhan, iaitu pembangunan Kuantan Maritime Hub (KMH) di bawah kawal selia Muhibbah Engineering (M) Bhd. yang memenuhi syarat utama projek GEF-8.
Perbincangan dan lawatan tapak ini telah berjaya mendapatkan maklumat berkenaan kesesuaian pelabuhan Kuantan untuk pelaksanaan projek GEF-8 dan perancangan perluasan pelabuhan dalam waktu terdekat. Pihak MIMA akan mengadakan pertemuan rasmi dengan LPKtn dan Muhibbah Maritime Hub Sdn. Bhd. selaku pemilik projek untuk membincangkan dengan lebih teliti bagi memastikan projek ini dapat dilaksanakan dengan sistematik dan teratur. Projek ini diharapkan dapat memastikan pembangunan pelabuhan yang mesra alam dan mampan serta menyumbang kepada usaha pemeliharaan biodiversiti marin di Malaysia ke arah pembentukan polisi NbS untuk pembangunan dan perluasan pelabuhan yang pertama seumpamanya di Rantau Asia Tenggara.